PENYERANG Arsenal, Gabriel Jesus menyifatkan keputusan seri 1-1 menentang Southampton di Saint Mary's, ibarat satu kekalahan selepas pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menguasai babak pertama sebelum kehilangan momentum selepas rehat.

Granit Xhaka membuka jaringan untuk The Gunnners pada minit ke-11, sebelum tuan rumah The Saints bangkit pada babak kedua dengan Stuart Armstrong meraih gol penyamaan di minit ke-65.

“Rasanya seperti kami kalah dalam perlawanan ini – kerana cara kami bermain, cara kami mencipta peluang, pada separuh masa pertama lebih banyak daripada separuh masa kedua...

“Babak kedua, kami turun satu tahap lagi. Ia agak serupa dengan apa yang berlaku ketika menentang Leeds. Kami harus bijak dan lihat apa yang kami lakukan salah kemudian perbaiki... kami perlu cuba untuk kembali pada tahap yang sama di mana kami memulakan musim, sebagai pasukan dan individu.

“Tiada alasan. Kami mempunyai beberapa hari untuk membuat persediaan, untuk mengusahakan apa yang perlu kami lakukan di padang. Terdapat beberapa pemain yang memerlukan lebih banyak masa untuk pulih, tetapi ini semua tentang fokus pada padang,” kata Jesus. - Sinar Harian